Monday, April 27, 2009

pulau bali yang cantik




Bali, juga dikenali sebagai Pulau Dewata, ialah sebuah pulau di Indonesia yang terletak di antara Pulau Jawa dan Pulau Lombok. Bali terkenal sebagai destinasi pelancongan, khususnya bagi orang Jepun dan Australia.

Pulau Bali yang merupakan sebahagian Kepulauan Sunda Kecil mempunyai keluasan sepanjang 153 kilometer dengan lebar 112 kilometer. Terletak pada garisan lintang selatan 8°, kedudukan ini menyebabkan Bali beriklim tropika sebagaimana dengan kawasan-kawasan Indonesia yang lain.

Gunung Agung setinggi 3,148 meter ialah titik yang tertinggi di Bali. Gunung berapi ini meletup terakhir kali pada Mac 1963. Gunung Batur merupakan lagi sebuah gunung di pulau ini. Sekitar 30,000 tahun dahulu, Gunung Batur meletus dan mengakibatkan bencana yang dahsyat. Berbeza dengan bahagian utara, bahagian selatan Bali ialah dataran rendah yang dialiri sungai-sungai.

Ibu kota Bali ialah kota Denpasar, manakala kota Ubud merupakan pusat kesenian. Destinasi pelancongan yang utama di Bali termasuk Kuta, Sanur, Seminyak, Jimbaran dan Nusa Dua.

Penghuni-penghuni pertama di pulau Bali dipercayai merupakan penghijrah-penghijrah dari Asia yang datang pada 2500 SM. Zaman prasejarah kemudian berakhir dengan kedatangan orang-orang Hindu dari India pada 100 SM.

Pada zaman kerajaan Majapahit, hampir seluruh nusantara beragama Hindu. Namun seiring dengan datangnya Islam, berdirilah kerajaan Islam di nusantara yang menyebabkan keruntuhan Majapahit sekitar tahun 1500. Kebanyakan orang Hindu datang dari Pulau Jawa.

Penjelajah Eropah pertama yang menemui Bali ialah Cornelis de Houtman dari Belanda pada 1597. Melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oostindische Compagnie), Belanda kemudian menjajah Bali, dan mencetuskan perang yang melibatkan seluruh rakyat, baik lelaki mahupun perempuan, termasuk rajanya.

Sejak penubuhan Republik Indonesia, Bali telah menjadi sebahagian negara tersebut.

No comments:

Post a Comment